SELANGOR

Tangkap tikus: Dulu 150 sehari, kini 15 sahaja

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 11 MEI: Jumlah tangkapan tikus di kawasan Bandar Puteri 1 didapati semakin berkurangan berbanding sejak tiga bulan lalu, kata Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), George Yap.

Katanya, statistik menunjukkan pada Mac lalu jumlah tangkapan tikus mencecah 150 ekor sehari, namun kini ia berkurangan kepada 15 ekor sahaja.

“Ia adalah hasil program rejuvenasi MPSJ yang berusaha membasmi pembiakan tikus dari terus menjadi kritikal dan mendatangkan wabak penyakit.

“Program itu baru sahaja dilancarkan pada April lalu dan dalam tempoh sebulan ia sudah mendatangkan hasil,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika lawatan tapak aliran trafik baru di Bandar Puteri 1, hari ini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

George berkata, hasil dari kejayaan projek berkenaan akan diteruskan ke lokasi Bandar Puteri 2.

“Amat penting bagi semua pihak meningkatkan usaha membasmi tikus untuk mencegah penularan penyakit,” katanya.


Pengarang :