SANDAKAN, 3 Jun — Sebahagian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia menyiapkan ketupat sebagai juadah sempena Aidilfitri yang akan disambut Rabu ini ketika bersama dengan mereka di atas kapal Auxillary Tun Azizan hari ini.?Mereka antara pasukan keselamatan negara yang tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya demi menjaga perairan negara.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONALRENCANA

Panggilan tugas lebih utama

 

KUANTAN, 4 Jun : Ketika ramai meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga, ramai anggota keselamatan negara yang perlu berjauhan melupakan keseronokan berkumpul beramai-ramai demi tugas kepada negara.

Walaupun tidak bersama keluarga, mereka menyifatkan pengorbanan itu lebih bermakna kerana keluarga sudah memahami keperluan tugasan mereka yang perlu bergilir-gilir dengan rakan setugas pada setiap perayaan utama.

Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pegawai Waran II Noraizat Samsuddin, 42, yang berkhidmat di KD Pahang berkata pengalaman selama 20 tahun menyebabkan beliau sudah biasa bekerja semasa umat Islam menyambut Aidilfitri.

“Memang naluri setiap orang pasti teringat kepada keluarga dan orang tua terutamanya pada pagi hari raya, kemeriahan mengambil giliran untuk bermaaf-maafan dan bertemu saudara-mara yang jauh, namun sebagai anggota keselamatan adakalanya kami dipanggil bertugas.

“Kebiasannya saya akan bertukar mesej pesanan ringkas dari atas kapal dengan keluarga untuk bertanya khabar, bermaafan dan melepaskan rindu pada hari raya jika tidak bersama mereka pada hari tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Noraizat yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata selain KD Pahang, beliau pernah bertugas di KD Jerai, KD Perdana dan KD Handalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Kamerul Bieza Mohamed Kassim, 49, berkata mereka yang mahu berkhidmat sebagai anggota keselamatan perlu menyedari ‘maksud cuti raya setiap tahun tiada dalam kamus hidup’ kerana kejadian malang boleh berlaku bila-bila masa.

Mengambil contoh pengalaman sendiri, Kamerul Bieza berkata beliau pernah berdepan dengan kemalangan yang melibatkan kematian dua nyawa semasa hari raya pertama ketika baru ditugaskan di Terengganu beberapa tahun lepas.

“Kalau semua anggota keselamatan bercuti raya, siapa pula yang akan membantu? Jadi tidak mengapalah untuk kami berkorban. Tambahan pula, kehadiran rakan-rakan menjadikan raya tidak begitu sunyi walaupun berada di balai.

“Alhamdulillah keluarga juga sudah faham dan dapat menerima jika saya beritahu tidak dapat bercuti raya. Sebenarnya bukan kami sahaja yang berkorban, malah keluarga juga turut sama berkorban beraya di perantauan,” katanya.

Bagi anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan Sarjan Hamizi Hamid, 48, bertugas pada waktu raya bukan perkara baharu kepadanya dan tidak terkecuali pada tahun ini.

Katanya, beliau ditugaskan pada Op Selamat 15 dan kehadiran polis trafik pada musim perayaan memang amat diperlukan supaya semua pemandu mematuhi peraturan jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko berlaku kemalangan. -BERNAMA


Pengarang :