NASIONALPBT

Penguatkuasa diberi kursus integriti sementara siasatan SPRM selesai

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 JUN: Anggota penguatkuasa terlibat dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan menghadiri kursus motivasi bagi meningkatkan integriti masing-masing.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, anggota yang masih dalam siasatan dalaman MBPJ itu juga dikenakan tindakan pentadbiran dengan ditempatkan di bahagian kerja dalaman sementara menunggu siasatan SPRM selesai.

“Kes ini masih dalam siasatan SPRM dan saya tak boleh mengulas lebih lanjut sehingga siasatan selesai sama ada akan ada pertuduhan atau tidak itu bergantung kepada siasatan SPRM sendiri.

“Kita juga masih menjalankan siasatan dalaman tetapi oleh kerana mereka masih lagi dipanggil memberi keterangan oleh SPRM, jadi saya perlukan sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MBPJ di Stadium Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, selain memberi kesedaran melalui kursus motivasi, anggota terbabit juga dikenakan pemantauan ketat.

Katanya, isu integriti merupakan satu perkara rumit kerana memerlukan kawalan lebih efektif untuk mengelakkan kesalahan integriti.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu hadir ke Pejabat SPRM Selangor bersama seorang peniaga yang mendakwa terpaksa memberi wang suapan kepada penguatkuasa MBPJ.


Pengarang :