NASIONAL

Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Jun : Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata, wanita berusia 50 tahun yang berasal dari Kampung Sungai Berua itu ditahan wad setelah datang ke hospital itu untuk membuat pemeriksaan kerana demam, batuk, selesema dan kurang selera makan.

“Pesakit ini mempunyai sejarah kontak dengan dua lagi pesakit Orang Asli yang telah disahkan positif campak (Measles) sebelum ini. Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, terdapat tiga pesakit Orang Asli yang masih berada di hospital itu iaitu dua pesakit perempuan dan seorang lelaki.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu telah menerima kemasukan 15 pesakit Orang Asli yang berkaitan demam campak namun 12 pesakit telah dibenarkan pulang secara berperingkat mulai Jun lepas.

Daripada 15 pesakit itu, 12 pesakit disahkan positif dijangkiti wabak itu, dua lagi negatif jangkitan dan seorang lagi pesakit masih menunggu keputusan makmal.

Selain itu, beliau berkata aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu telah menemui 11 lagi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua sekali gus menjadikan jumlah saringan 493 orang sehingga kini.

“Bagaimanapun, hasil pengesanan yang dilakukan tidak menemui mana-mana Orang Asli yang mempunyai tanda dan gejala sakit,” katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman -BERNAMA


Pengarang :