PBTSELANGOR

Bayar cukai taksiran peluang menang telefon pintar

SHAH ALAM, 24 JUL: Warga Shah Alam berpeluang memenangi telefon pintar Samsung Note 9 dan Galaxy A7 dengan menyertai kempen Bayar Cukai Taksiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui aplikasi ‘SnapNPay’ bersama Bank Islam Malaysia Berhad.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu akan berlangsung selama dua bulan bermula 1 Julai hingga 31 Ogos ini.

Katanya, pemilik hartanah perlu membuat bayaran cukai taksiran melalui saluran aplikasi ‘SnapNPay’ dan memastikan tiada tunggakan bayaran cukai taksiran.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ‘SnapNPay’ di Google Play Store bagi pengguna menggunakan model Android atau App Store bagi pengguna IOS secara percuma.

“Pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran tertera pada invois cukai taksiran seterusnya proses bayaran akan disambungkan ke portal perbankan internet dipilih pengguna.

“Kaedah pembayaran adalah kad debit atau kredit,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, aplikasi bayaran ‘SnapNPay’ dapat memberi pilihan kepada pengguna seiring dengan perkembangan teknologi telefon mudah alih selain dapat menaikkan imej MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan pertama yang melaksanakan bayaran melalui saluran itu.

“Aplikasi ini dapat memudahkan pengguna membuat bayaran cukai taksiran tanpa perlu memasukkan nombor akaun dan jumlah bayaran.

“Kita mempunyai pelbagai saluran bayaran antaranya di kaunter utama dan pejabat cawangan, perbankan internet, pejabat bergerak Shah Alam On Wheels serta kaunter pandu lalu,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung pelaksanaan ‘SnapNPay’, pengguna boleh hubungi Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1203, 1295, 1522, 1656, 1657 dan 1658.


Pengarang :