Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Pahang pasukan pertama sahkan tempat ke suku akhir

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Pahang menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat dalam pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sabah pada aksi keempat saingan Kumpulan C, malam tadi.

Penyerang import sensasi, Dickson Nwakaeme muncul wira skuad Tok Gajah selepas pemain kelahiran Nigeria itu meledak gol sulung perlawanan menerusi jaringan menarik pada minit ke-57 dan ia sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Dollah Salleh.

Keputusan positif di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu turut menyaksikan Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk megah mendahului carta kumpulan dengan 12 mata selain mempunyai dua baki perlawanan.

Pada masa sama, juara 2018, Perak bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya Georgetown dalam satu lagi aksi Kumpulan C.

Selepas separuh masa pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan, Pulau Pinang hanya menunggu tiga minit pertama babak kedua sebelum memecah kebuntuan menerusi Muhammad Nurfais Johari.

Bagaimanapun, Leandro Dos Santos menyamakan kedudukan buat Perak pada minit ke-60 sekali gus terus menghidupkan peluang memburu tempat lapan pasukan terbaik di mana skuad The Bos Gaurus kini menduduki kedudukan kedua berkongsi lima mata bersama Pulau Pinang di tempat ketiga.

Dalam pada itu, saingan Kumpulan D semakin menarik selepas Felda United membenam pendahulu kumpulan, Melaka 3-1 di Stadium Hang Jebat.

Pemain tengah, Muhammad Hadin Azman mempamerkan aksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol untuk menindakkan jaringan sulung Melaka menerusi pemain import dari Siberia, Luka Milunovic pada minit ke-37.

Muhammad Hadin menyamakan kedudukan pada minit ke-45 diikuti jaringan kedua Felda United oleh Muhammad Daniel Amier Norhisham pada minit ke-69 sebelum Muhammad Hadin melengkapkan kemenangan 3-1 pasukan melalui sepakan penalti pada minit ke-73.

Melaka kekal mendahului saingan Kumpulan D meskipun berkongsi enam mata bersama Selangor di tempat kedua sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketiga dengan lima mata dan Felda United yang mengumpul empat mata di kedudukan tercorot kumpulan.

– BERNAMA


Pengarang :