Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat ketika Selangor International Sports Summit 2019 di Sunway Resort, Subang Jaya pada 27 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SUKANKINI

SISS 2019 buka peluang Selangor anjur sukan bertaraf antarabangsa

SUBANG JAYA, 27 OGOS: Penganjuran Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor (SISS) 2019 membuka peluang terbaik untuk Selangor menjadi penganjur sukan bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, penganjuran sidang kemuncak kali pertama yang turut dihadiri delegasi daripada 30 buah negara juga memberi peluang kepada Selangor untuk memperkasa persatuan dan memperkenalkan bentuk pembangunan sukan baharu.

“Peluang mendengar perkongsian pengalaman daripada delegasi jemputan akan memberikan ilmu baharu dalam penganjuran sukan besar,” katanya.

Katanya, Selangor turut berterima kasih kepada Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia kerana turut sama menjayakan penganjuran ini.

Dalam ucapan berasingan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan, pada zaman ini, sukan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, penganjuran Sukan Komenwel pada 1998 sebagai contoh kejayaan negara menganjurkan sukan besar bertaraf antarabangsa walaupun ketika itu Malaysia berdepan krisis ekonomi.

“Industri sukan kita bernilai sekitar RM5 bilion atau 0.5% KDNK negara. Saya gembira dengan pendekatan yang dilakukan Selangor untuk menganjurkan persidangan sebegini.

“Sidang kemuncak ini merupakan platform terbaik untuk semua persatuan dan agensi sukan tempatan memperkasa pengalaman serta pengetahuan daripada perkongsian yang disampaikan,” katanya.


Pengarang :