Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Salahuddin Ayub (tiga, kiri) menunjukkan Setem Kenangan 125 Tahun sempena Sambutan 125 Tahun Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pada 26 September 2019 – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TPM: Pemain industri penternakan perlu berani terima teknologi baharu

ALOR GAJAH, 26 SEPT: Pemain industri penternakan perlu berani menerima teknologi baharu dan membuat pelaburan berskala lebih besar dalam usaha mentransformasikan bidang itu bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penternak dinasihatkan agar meninggalkan cara lama yang dianggap sudah ketinggalan dengan mengamalkan cara baharu yang lebih berdaya saing.

“Daya saing adalah senjata yang paling sesuai dalam pasaran yang lebih terbuka… penduduk negara kita bertambah ramai, peranan penternak sebagai pembekal makanan asas akan menjadi lebih penting,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan ke-125 tahun Veterinar Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Wan Aziziah berkata, selain keperluan menyediakan daging dan tenusu, industri penternakan antara aktiviti ekonomi yang penting dalam pembangunan luar bandar.

Katanya, usaha itu adalah sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara iaitu menjamin keselamatan bekalan makanan, menjadikan industri agromakanan berdaya saing dan mampan, serta meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.

Beliau yakin bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan perubahan di dalam masyarakat dan industri dari segi perkembangan pengetahuan dan teknologi berkaitan dengan pertanian.

“Cabaran seterusnya adalah untuk mengangkat industri ternakan menjadi pemain penting dalam usaha ke arah transformasi ekonomi berpendapatan tinggi dan dalam masa sama memastikan Perkhidmatan Veterinar sentiasa relevan terhadap keperluan warga ternak, industri ternakan dan rakyat secara amnya,” katanya.

Pada 2018, industri ternakan mencatatkan nilai pengeluaran pada tahap RM 14.785 billion dan menyumbangkan 14.86 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian dan 1.11 peratus KDNK negara.

“Beberapa subsektor menunjukkan pertumbuhan eksport yang menggalakkan, antaranya ialah industri telur, ayam pedaging, itik dan sarang burung walit,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :