AGENDANASIONAL

Covid-19: Pakej rangsangan ekonomi bantu industri pelancongan

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak koronavirus 2019 (Covid-19), dijangka mengandungi pakej khas untuk membantu industri berkaitan pelancongan seperti penerbangan, hotel, pengembaraan selain industri runcit, kata penganalisis.

Profesor Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata pakej tersebut juga dijangka merangkumi insentif fiskal bagi merangsang permintaan dalam industri lain yang terjejas serta perbelanjaan tambahan kerajaan bagi memacu permintaan domestik dan meningkatkan keyakinan awam.

“Oleh kerana impak ekonomi (Covid-19) memaparkan apa yang pernah dialami sewaktu penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, pakej rangsangan ini juga dijangka meliputi banyak perkara yang sama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain aspek perbelanjaan kerajaan dan aktiviti pelaburan, Yeah berkata pendekatan itu dijangka memberi tumpuan terhadap usaha mengehadkan pemberhentian pekerja menerusi kelonggaran untuk majikan dari segi gaji.

Langkah lain termasuk pelepasan untuk perniagaan kecil dan industri terjejas serta meningkatkan kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Institusi kewangan juga boleh memberi kerjasama dengan menawarkan kelonggaran dari segi penangguhan bayaran hutang, syarat pembayaran lebih anjal dan pakej kewangan khas untuk perniagaan dan individu terjejas dengan krisis tersebut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :