Medan selera Everyday Food Court di Puchong. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Berita palsu Covid-19, medan selera rugi 70 peratus

PUCHONG, 3 MAC: Sebuah medan selera di sini mendakwa kerugian sehingga 70 peratus sejak beberapa hari lalu ekoran penyebaran berita palsu mengenai pasangan suami isteri yang dijangkiti Covid-19 dikatakan mengunjungi premis itu, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata ekoran penularan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pemeriksaan dan mengesahkan premis Everyday Food Court yang telah beroperasi 18 tahun bebas daripada Covid-19.

“Sejak empat hari lalu, ramai pengguna media sosial menerima mesej mendakwa sepasang suami isteri yang dijangkiti Covid-19 baru pulang dari Itali telah melawat beberapa lokasi sekitar Puchong termasuk di Everyday Food Court.

“Pemilik restoran yang tidak berpuas hati dengan berita palsu itu membuat laporan polis dan menghubungi KKM untuk memeriksa premisnya,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya Zon 16, Yap Kok Weng di sini hari ini.

Sementara itu, Yap memaklumkan pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan atau masalah berhubung medan selera terbabit sejak ia beroperasi.

“Medan selera ini antara paling lama di sini malah ia mempunyai banyak pilihan makanan selain aspek kebersihan yang sentiasa dititikberatkan peniaga,” katanya.


Pengarang :