EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud bergambar dengan peserta Ekspo Hasil Suri Selangor Sempena Hari Wanita Peringkat Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di Shah Alam pada 8 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Suri rumah digesa belajar kraf tangan

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Negeri mewujudkan Program Tanjung Suri bagi meningkatkan kemahiran penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) menghasilkan produk bermutu seterusnya menjana pendapatan, kata EXCO pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pada peringkat awal projek perintis itu, peserta diberi tunjuk ajar menghasilkan produk kraf tangan oleh pembimbing berpengalaman sebelum mereka diberi upah kerana bekerja dari rumah.

“Kita sedar golongan ini (ibu dan wanita) sukar untuk keluar bekerja kerana perlu menguruskan hal persekolahan anak-anak. Bagaimanapun, jika mereka telah menjalani kursus, mereka boleh melakukan kerja di rumah ketika lapang.

“Jika ada peluang ini, kita mungkin boleh bayar upah bekerja dari rumah seperti RM10 satu jam bagi menghasilkan produk,” katanya selepas Majlis Perasmian Hari Wanita Peringkat Selangor sempena Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Bagaimanapun, Siti Mariah mengakui sukar mendapatkan peserta menyertai program ini kerana majoritinya sudah selesa dengan bantuan RM200 yang diterima setiap bulan.

“Mereka perlu sedar bantuan KISS hanya untuk menampung makan dan keperluan anak-anak,” katanya.

Tanjung Suri dihasilkan oleh sekelompok suri rumah terlatih yang memperkenalkan produk seni tangan untuk dikomersialkan.


Pengarang :