Kakitangan Hospital Pakar KPJ Ampang menyimpan sampel ujian untuk dihantar ke makmal selepas mengendalikan saringan Covid-19 secara pandu lalu pada 9 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes pulih 45 peratus, Malaysia antara tertinggi di dunia

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kadar sembuh pesakit Covid-19 di negara ini mencatatkan 45 peratus, antara tertinggi di dunia, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Melalui Twitter, KKM turut memaklumkan Malaysia mencatat 1.6 peratus kadar kematian, antara yang terendah di dunia dan negara serantau berbanding Indonesia (8.5 peratus) dan Filipina (5.6 peratus).

“Kadar kesembuhan di Malaysia ialah 45 peratus antara tertinggi di dunia. Kadar kesembuhan tertinggi (setakat ini) di China sebanyak 94 peratus dan Korea Selatan sebanyak 69 peratus.

“Purata kadar kesembuhan di dunia ialah 22.7 peratus, manakala kadar kematian tertinggi ialah di Itali iaitu 12.8 peratus dan United Kingdom sebanyak 12.4 peratus. Purata kadar kematian dunia ialah 6.1 peratus,” kata KKM.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan Amerika Syarikat paling teruk terjejas dengan merekodkan lebih setengah juta kes Covid-19 dan kematian lebih 20,000 orang.

Berdasarkan angka KKM setakat semalam, sebanyak 153 kes dilaporkan, menjadikan keseluruhan kes 4,683 dengan 113 lagi berjaya sembuh dan 76 orang meninggal dunia.


Pengarang :