Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melawat Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya pada Hari Raya Aidilfitri pada 24 Mei 2020. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Noor Hisham sambut Syawal bersama warga KKM

SHAH ALAM, 24 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyambut Aidilfitri bersama warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas barisan hadapan yang terus bekerja bagi membasmi penularan Covid-19.

Segak mengenakan baju Melayu berwarna biru, beliau berkongsi beberapa foto hari rayanya di laman Facebook di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya.

“Mohon maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada warga KKM dan barisan hadapan yang masih memberi perkhidmatan terbaik pada musim raya.

“Mereka adalah wira­-wira yang tidak didendangkan, berjiwa tinggi dan berkorban untuk perjuangan menyelamatkan bangsa dan negara memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menasihatkan rakyat untuk patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawlan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika bersama keluarga terdekat.

Dr Noor Hisham turut berkongsi empat rangkap pantun mengenai amalan kebersihan ketika meraikan Aidilfitri.

Cantik melaram mesra berbual,
Anak dan bonda di pagi Raya;
Bersama KKM raikan Syawal,
Kesihatan dijaga meraih bahagia.

Empuk bahulu di kampung Maran,
Resepi nenda sedap dijamah;
Norma baharu menyambut lebaran,
Seisi keluarga duduk di rumah.

Daun palas di dalam raga,
Hendak ketupat dianyam dayang;
Ziarah terbatas jarak dijaga,
Hendak selamat insan tersayang.

Enak hidangan masakan desa,
Lauknya gulai tidaklah cair;
Pastikan tangan bersih sentiasa,
Diguna pakai sabun dan air.


Pengarang :