AGENDA NASIONAL

Pertikai tempoh, PAKATAN jamin masuki Parlimen penuh adab

SHAH ALAM, 16 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menjaga adab dan mematuhi peraturan Dewan Rakyat pada Isnin ini sekalipun mereka mempertikai tempoh persidangan itu.

Presiden KEADILAN yang juga pengerusi PAKATAN berkata pembangkang tetap menghormati Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya tegaskan dalam PAKATAN untuk sesi Isnin, kita harus memuliakan sesi Titah Diraja dan tidak menimbulkan apa-apa masalah supaya perjalanan persidangan (berlangsung) penuh hormat dan teratur.

“Apa yang dibangkitkan kemudian (sama ada) di mahkamah atau pertikai dari segi politik, itu jangan mengganggu gugat (persidangan) terutama dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong,” kata ahli parlimen Port Dickson menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Dewan Rakyat hanya bersidang sehari, menyebabkan pemimpin PAKATAN mendesak ia dibuat secara penuh atau sekurang-kurangnya dua minggu.

Sidang Isnin ini juga hanya urusan Titah Diraja berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas kepada ahli-ahli Dewan Rakyat pada 13 Mei lalu.

Notis ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat yang menyatakan ketetapan itu dibuat selaras keadaan semasa negara berikutan wabak  Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.

 


Pengarang :