Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

Premis perniagaan wajib laksana sistem SELangkah

SHAH ALAM, 4 MEI: Semua premis perniagaan diwajibkan melaksanakan penggunaan sistem pendaftaran keluar masuk automatik SELangkah ‘Langkah Masuk Dengan Selamat’ secara imbasan kod QR di premis masing-masing.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Twitter memaklumkan pendaftaran boleh dilakukan di www.selangkah.my mulai hari ini.

Premis perlu mencetak poster kod QR dan dipaparkan di pintu hadapan premis. Pelanggan akan mengimbas kod sebelum memasuki premis.

Menerusi sistem ini, nombor telefon dan waktu log masuk pelanggan akan direkodkan. Sekiranya pelanggan didapati positif Covid-19, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan memeriksa rekod log dan memaklumkan pemilik premis tersebut.

Dalam pada itu, menerusi jawapan soalan lazim di www.amirudinshari.com semalam, inisiatif SELangkah diwujudkan bagi memastikan kesiapsiagaan entiti perniagaan dan industri sepanjang aktiviti perniagaan berlangsung.‍

SELangkah bakal melengkapi ikhtiar pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan Negeri, terutamanya apabila terdapat kes-kes yang dikesan di premis perniagaan seperti pasar awam, pasaraya, dan kedai runcit.

Dengan sistem SELangkah, pihak kesihatan dapat mengenal pasti pelanggan lain yang mungkin terdedah kepada kes Covid-19 semasa menjalankan urusan jual-beli, supaya saringan dan ujian dapat dijalankan lebih awal.‍

SELangkah menggunakan teknologi kod QR yang universal dan boleh diguna pakai telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS ataupun Android.

SELangkah juga merupakan penyelesaian yang berpusatkan premis (premis-centric) berbanding individu (individual-centric), dan hanya menyimpan log kehadiran semasa urusan lawatan atau jual beli.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman www.selangkah.mbiselangor.com.my atau www.selangkah.my‍


Pengarang :