Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA

Inkubasi virus Covid-19 lebih 14 hari belum pernah dilaporkan

PUTRAJAYA, 31 OKT: Kes Covid-19 yang melibatkan tempoh inkubasi virus itu lebih dari 14 hari belum pernah dilaporkan di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes-kes inkubasi pada tempoh yang panjang itu pernah dilaporkan di luar negara namun bukan di Malaysia.

“Kebanyakan kes Covid-19 dikesan pada hari ketujuh, kelapan dan sehingga hari ke-13 dan 25 peratus yang dikuarantin akan bergejala pada hari ke-12 atau ke-13.

Tetapi tempoh (inkubasi) untuk 21 hari tidak pernah lagi dilaporkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kes seorang wanita yang dilaporkan pulang ke Sarawak dari Labuan dan didapati positif pada ujian ketiga iaitu pada hari ke-18.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Noor Hisham berkata wanita itu disaring pada hari ke-10 dan mula bergejala pada hari ke-11 namun individu berkenaan tidak memaklumkan kepada petugas kesihatan.

Katanya setakat ini seramai 1,181 individu dikesan positif bagi kes pengembara dan pemaustatin tetap yang pulang dari luar negara.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 75 peratus dikesan positif pada hari pertama manakala 25 peratus lagi dikesan positif selepas saringan pada hari ke-13.

– BERNAMA

 


Pengarang :