Penduduk, Mohd Azrie Danial Nazri, 21 menyelamatkan burung peliharaannya setelah rumahnya ditenggelami banjir di Kampung Semangat pada 12 Januari 2021. Meskipun cuaca agak baik dan sekali sekala hujan renyai namun keseluruhan kampung itu dilanda banjir. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Pahang, Johor dan Kelantan reda, jumlah mangsa terus turun

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Situasi banjir di Pahang, Johor dan Kelantan petang ini terus menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan.

Sehingga pukul 4 petang ini, seramai 22,968 orang masih berada di PPS di tiga negeri berkenaan berbanding 24,790 pagi tadi.

Di PAHANG, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di 185 PPS setakat 2 petang ini ialah 19,300 orang, berkurangan daripada 20,832 orang pagi tadi.

Menurut portal berkenaan Temerloh masih lagi mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu 10,097 orang diikuti Pekan (3,110 orang), Maran (2,175 orang), Bera (1,616 orang), Lipis (1,046 orang), Kuantan (749 orang), Jerantut (411 orang), Raub (71 orang) dan Rompin (25 orang).

Di JOHOR, banjir dilihat semakin surut dengan jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 3,392 orang daripada 938 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 3,598 orang daripada 996 keluarga yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata ia berikutan dua daerah iaitu Mersing dan Kulai telah pulih sepenuhnya daripada banjir.

“Sebanyak enam PPS telah ditutup melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di Kota Tinggi; SK Bandar Endau di Mersing; Balai Raya Kampung Jabi di Segamat; SK Bukit Mutiara di Johor Bahru dan dua PPS di Kulai iaitu SK Murni Jaya dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata Kota Tinggi kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,227 orang diikuti dengan Johor Bahru (975), Kluang (97), Segamat (76) dan Pontian (17).

Sementara itu, dua jalan iaitu Jalan J172 (Mawai Lama) di Kota Tinggi dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J156) di Segamat masih ditutup untuk kenderaan ringan berikutan dinaiki air manakala Jalan Kota Tinggi-Kluang (FT091) di Taman Seri Impian, Kluang, ditutup untuk semua kenderaan berikutan tanah runtuh malam tadi.

Keadaan di KELANTAN juga sama apabila jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Pasir Mas dan Kuala Krai setakat pukul 3 petang ini menunjukkan penurunan kepada 276 mangsa berbanding 369 orang dengan enam PPS yang masih beroperasi.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, daripada jumlah itu seramai 239 orang ditempatkan di empat PPS di Pasir Mas dan dua PPS masih dibuka bagi menempatkan 37 mangsa di Kuala Krai.

– BERNAMA


Pengarang :