Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keputusan mengenai PKP dibuat selepas penilaian KKM – menteri

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sebarang keputusan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 4 Februari hanya dibuat setelah penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan juga akan mengambil kira kepentingan keseluruhan rakyat termasuk sektor ekonomi.

“Maklumat tersebar mengenai kerajaan akan melaksanakan sekatan pergerakan penuh seperti PKP 1.0 menimbulkan kebimbangan sehingga ada yang membuat pembelian panik.

“Saya ingin menyatakan bahawa keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) apabila hampir tiba tempoh tamat (PKP) pada 4 Februari nanti,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan media yang menyatakan kerajaan akan melaksanakan PKP lebih ketat seperti yang pertama kali diadakan di negara ini termasuk menutup semua sektor ekonomi untuk mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, mengulas laporan media Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa PKP selepas 4 Februari akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata ianya hanya bayangan dan harapan ketua pengarah itu.

– BERNAMA


Pengarang :