Pertandingan Selangor Mobile Legend di pusat membeli-belah SACC, Shah Alam pada 15 April 2018. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Elak terjerat minat, pemain e-sukan nasihat tidak abai pelajaran

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Generasi muda yang bercita-cita bergelar pemain profesional sukan elektronik (e-sukan) disaran supaya tidak mengabaikan kepentingan pelajaran dalam usaha menjadikan sukan berasaskan permainan video itu sebagai kerjaya.

Saranan itu dilontarkan jaguh FIFA21 negara Muhammad Luqman Hajiman susulan bimbang elemen keseronokan di gelanggang maya yang bersifat sementara berupaya ‘menjerat’ minat dan perhatian individu lantas mengalih pandangan daripada perkara lebih mustahak.

Bagi penuntut Universiti Malaya berusia 24 tahun itu, beliau menganggap pelajaran sebagai komponen terpenting dalam kehidupan dan mampu menjamin kelangsungan hidup seseorang atlet pada masa depan manakala industri e-sukan secara amnya boleh disifatkan belum stabil.

Beliau berkata kehidupan pemain profesional e-sukan sering digambarkan indah namun sepanjang tiga tahun memegang gelaran itu, pelbagai dugaan dan rintangan membuka matanya akan kepentingan pelajaran dalam apa-apa jua yang dilakukan.

Muhammad Luqman Hajiman (kanan) kini di ambang mencipta sejarah dalam permainan video FIFA21 di peringkat global. Foto BERNAMA

“Itu (kepentingan pelajaran) yang selalu saya tekankan walaupun memang ada niat mendalam hendak jadi pemain profesional dalam apa-apa saja berkaitan permainan video, pelajaran itu penting sebagai rancangan sandaran sekiranya apa yang kita hajatkan tidak menjadi,” katanya kepada Bernama.

“Dalam penstriman langsung, saya juga selalu mengingatkan mereka terutama adik-adik yang masih bersekolah bahawa industri e-sukan belum stabil, e-sukan di Malaysia khususnya masih muda walaupun terdapat banyak potensi tetapi ia masih belum stabil,” kata pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Kewangan itu.

Muhammad Luqman, atau lebih dikenali sebagai ‘Fenrir’ di gelanggang maya, berkata pelajaran amat penting bagi dirinya kerana mampu menjadi ‘penyelamat’ dalam mencipta kejayaan baharu jika sesuatu menimpa karier profesional e-sukannya.

“Kita tidak boleh ramal apa akan jadi dalam masa 10 tahun lagi, mungkin lagi dua atau tiga tahun saya sudah tidak mampu bertanding di peringkat tertinggi atau minat saya tidak lagi terhadap bidang ini.

“Mereka yang hendak masuk ke dalam industri ini jangan tinggalkan pelajaran langsung. Mungkin susah hendak bahagikan masa antara waktu belajar dan latihan, mungkin nampak sukar tapi ia amat penting dan kita perlu ada inisiatif sendiri untuk buat jadual dan perancangan aktiviti harian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain profesional FIFA21 Ahmad Shahrin Shaharudin berpendapat e-sukan sukar dijadikan sebagai karier sepanjang hayat berdasarkan faktor peningkatan umur dan tanggungjawab yang semakin besar.

“Saya rasa semua orang tahu e-sukan bukan untuk orang yang berumur jadi ia tidak akan bertahan lama dan sukar dijadikan satu karier untuk selama-lamanya. Jadi, amat penting kita lengkapkan diri dengan pelajaran supaya dapat menjamin pekerjaan di luar.

“Bagi saya, setakat ini industri e-sukan tidak begitu stabil, namun mungkin akan ditambah baik tetapi masih bagi saya ia tidak cukup untuk dijadikan sebagai pekerjaan sepenuh masa,” kata pelajar jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 21 tahun itu.

Muhammad Luqman dan Ahmad Shahrin mewakili GBX E-Sports Team kini di ambang mencipta sejarah dalam permainan video FIFA21 di peringkat global pada Kejohanan Piala Dunia FIFAe Club yang akan berlangsung secara dalam talian pada 25 hingga 28 Februari ini.

Kedua-dua remaja yang dianggap sebagai antara pemain ternama FIFA21 tanah air itu sedang giat menjalani persediaan membawa cabaran Malaysia yang buat julung kalinya layak ke pusingan akhir kejohanan itu.

Muhammad Luqman sebelum ini mencipta sejarah muncul pemain pertama Asia Tenggara mara ke pusingan kelayakan Piala Dunia FIFAe di Barcelona, Sepanyol pada 2018.

-BERNAMA


Pengarang :