Selangorkini
Setiausaha Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin (kanan) ketika membuat pemantauan di sebuah pasar malam bagi memastikan peniaga mematuhi tatacara operasi piawai (SOP). Foto: MPK
PBT SELANGOR

MPK beri amaran tutup pasar malam gagal patuh SOP

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan teragak-agak menutup mana-mana pasar malam yang ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang dipertuanya berkata sehingga kini, sebanyak 34 daripada 58 pasar malam dalam kawasan MPK sudah mula beroperasi dan ada antaranya dikesan gagal patuh SOP.

“Hasil pemantauan kami, masih ada peniaga tidak memaparkan kod QR MySejahtera, menyediakan alat pengimbas suhu, buku pendaftaran dan cecair pembasmi kuman.

“Disebabkan itu, kita tidak akan teragak-agak menutup pasar malam yang tidak mematuhi syarat. Tindakan ini dilakukan untuk mencegah jangkitan Covid-19,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin kepada SelangorKini.

Beliau turut menjelaskan, masih ada peniaga yang menggunakan petak melebihi had yang dibenarkan.

“Keadaan ini menyebabkan laluan terlalu sempit sehingga tiada penjarakan sosial berikutan susun atur tapak peniaga di tengah jalan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan operasi pasar malam dibenar bermula 5 Februari.

Pelaksanaan itu dilakukan setelah tiada kluster-kluster baharu membabitkan Covid-19 yang dihasilkan oleh aktiviti ekonomi berkenaan.

Pasar malam dibenar beroperasi jam 4 petang hingga 10 malam dengan mematuhi SOP ketat termasuk jarak antara gerai ialah satu meter, laluan keluar masuk berbeza dan kawalan yang ketat oleh anggota Rela.

 


Pengarang :