AGENSISELANGOR

Jais tahan empat individu terbabit ajaran meragukan

SHAH ALAM, 4 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan empat individu di sebuah premis di Hulu Langat selepas dipercayai terbabit dengan ajaran meragukan.

Pengarah Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya mengeluarkan tiga waran tangkap terhadap tiga orang disyaki dan satu waran geledah premis menerusi operasi khas semalam.

“Berikutan itu, Jais berjaya menahan dua lelaki dan dua wanita serta menyita beberapa bahan bukti dari premis juga individu terlibat.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Jais untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995,” katanya sambil menambah kes itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

Beliau berkata mahkamah menetapkan ikat jamin RM1,000 bagi seorang tertuduh lelaki dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Gombak dua minggu sekali.

Menurutnya, bagi dua tertuduh wanita, mahkamah menetapkan ikat jamin dengan seorang penjamin sebanyak RM3,000, pasport diserah kepada mahkamah dan melaporkan diri di Paid yang sama dua minggu sekali.

“Seorang lagi suspek lelaki dilepaskan dengan bon jamin penguat kuasa,” katanya sambil memaklumkan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Julai depan.

Mohd Shahzihan berkata penangkapan suspek dijangka dapat menyelesaikan kes membabitkan perbuatan beberapa individu di negeri ini yang disyaki bercanggah dengan ketetapan hukum syarak atau fatwa.

Katanya, ia termasuk penghinaan kepada al-Quran dan hadis serta mempersenda, menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina.


Pengarang :