Keadaan unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor guna 80 peratus katil ICU untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Selangor mencatat lebih 80 peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri lain yang turut mencapai kadar sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Perak.

Menurutnya, terdapat 1,388 katil ICU untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di 78 hospital Kementerian Kesihatan dan hospital pengajar (universiti) seluruh negara yang merawat pesakit berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 850 katil ICU dikhaskan untuk pesakit Covid-19 dan ia sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit ini sentiasa dipertingkatkan, dukacita dilaporkan kadar penggunaan katil ICU untuk kes Covid-19 buat masa ini telah mencecah 80 peratus di seluruh negara.

“Malah, terdapat juga hospital yang mana katil ICU untuk kes itu telah digunakan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata negara kini berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 yang mempunyai gejala serius seperti memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan.


Pengarang :