EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Liga Usahawan Selangor secara dalam talian pada 31 Mei 2021.
EXCOSELANGOR

Seramai 350 peserta tanding Liga Usahawan, pemenang terima pakej niaga

SHAH ALAM, 31 MEI: Seramai 350 peserta menyertai Liga Usahawan anjuran Kerajaan Negeri bermula Jun sehingga Disember, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata penganjuran julung kali itu mempertandingkan empat kategori iaitu PROTUNe (pelajar sekolah dan guru), GROW (graduan universiti), Say LEAD (orang kelainan upaya) dan Say Aspire (usahawan belia).

“Dalam tempoh enam bulan, kita bimbing dan mencungkil kebolehan peserta selain mewujudkan persaingan sihat sesama mereka sebelum memilih tiga terbaik setiap kategori untuk ke peringkat akhir.

“Peserta akan membentangkan perancangan perniagaan kepada juri. Pemenang menerima kursus bimbingan serta pakej inisiatif usahawan,” katanya pada Majlis Pelancaran Liga Usahawan Selangor secara dalam talian hari ini.

Rodziah berkata program itu mengumpulkan peserta pelbagai kategori dan umur untuk melahirkan usahawan bertaraf global dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM1 bilion untuk menjayakan pelbagai program pembangunan serta memperkasa usahawan sejak 10 tahun lepas, terutama ketika negara dilanda wabak Covid-19,” katanya.


Pengarang :