Selangorkini
Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han bersama membantu menjayakan program Dapur Kinrara pada 10 Januari 2021. Foto Facebook Ng Sze Han
ADN SELANGOR

ADN Kinrara agih makanan rumah ke rumah pastikan bekalan cukup

SHAH ALAM, 29 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mengambil inisiatif turun ke kawasan perumahan bagi mengagihkan makanan asas kepada penduduk.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata langkah tersebut berikutan ada penduduk berasa malu untuk memohon bantuan meskipun berdepan masalah kekurangan bekalan makanan.

“Kelmarin kami edarkan ikan segar kepada penduduk. Selalunya bakul makanan hanya diberi kepada yang memohon, namun kami sedar ada yang tidak selesa untuk mohon bantuan.

“Jadi dengan cara ini, kami juga dapat mendengar keluhan rakyat dan mengenal pasti jenis bantuan lain yang diperlukan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Sze Han berkata program Dapur Kinrara yang menyediakan makanan tengah hari untuk golongan memerlukan terus mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini program berjalan di dua lokasi. Kita harap ramai akan menyokong kerana ia memberi manfaat kepada golongan susah,” katanya.

Dapur Kinrara diwujudkan hujung tahun lalu sebagai dapur berpusat yang akan mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan pada setiap Ahad.


Pengarang :