Legimin, 53, membawa isterinya Maimunah, 53, menggunakan kerusi roda semasa hadir mendapatkan suntikan pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sijangkang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru pada 8 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selvax berjaya capai sasaran, program diperluas ke negeri lain

SHAH ALAM, 21 OGOS: Program Vaksin Selangor (Selvax) diperluas ke negeri lain selepas berjaya mencapai sasaran suntikan pelalian melebihi 100 peratus penduduk dewasa di Selangor dan Lembah Klang.

Selvax menerusi kenyataan berkata program cetusan Kerajaan Selangor berkenaan akan memfokus memberi suntikan pelalian kepada penduduk negeri lain yang mempunyai kadar vaksinasi rendah.

“Selaras hasrat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok, program Selvax akan meluaskan liputan program vaksinasi swasta ini ke negeri-negeri di luar Lembah Klang.

“Walau bagaimanapun, program Selvax masih beroperasi seperti biasa kepada mereka yang masih mempunyai janji temu pemberian vaksin melalui rangkaian klinik panel Selcare dan di tapak,” katanya hari ini.

Selvax juga memaklumkan Program Outreach Selvax Komuniti akan dilaksanakan menerusi bas bergerak bagi memudahkan proses vaksinasi bagi kumpulan tercicir serta penduduk luar bandar.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Berikut fokus program Selvax di fasa seterusnya:

– Meneruskan program vaksinasi swasta Selvax menerusi rangkaian klinik panel Selcare

– Penjualan dan pengedaran bekalan stok vaksin kepada klinik, hospital dan farmasi swasta (email ke [email protected] ataupun telefon di 1800-22-6600 untuk sebarang pertanyaan)

– Memulakan program outreach Selvax Komuniti bagi kumpulan tercicir dan luar bandar

 


Pengarang :