Team Selangor mengerakkan sukarelawan bagi membantu penduduk mendapat bekalan susulan naik taraf aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 mulai 13 Oktober 2021. Foto Facebook Selangor Lestari by Team Selangor
AGENSISELANGOR

Team Selangor pelawa sukarelawan edar air kepada penduduk

SHAH ALAM, 10 OKT: Team Selangor menawarkan peluang sebagai sukarelawan kepada orang awam susulan kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pada Rabu ini.

Menerusi Facebook Selangor Lestari By Team Selangor, pasukan itu memaklumkan sukarelawan terbabit akan mengedarkan air ke kawasan terlibat bermula 14 hingga 16 Oktober.

Individu berminat boleh mendaftar di bit.ly/SukarelawanAirTeamSelangor dan akan dihubungi mulai Isnin ini atau hubungi talian 013-5305378.

Sepanjang 13 hingga 16 Oktober, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sehubungan itu Air Selangor meminta penduduk menyimpan bekalan air secukupnya.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :