Beberapa jentera berat ditenggelami banjir semasa tinjauan Bernama di Kampung Buluh Permaisuri, Setiu hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bomba guna helikopter pantau penduduk terperangkap banjir

KUALA BERANG, 27 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan melakukan pemantauan dari udara di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir terutama di Hulu Terengganu bagi memastikan proses evakuasi atau pemindahan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata pada masa ini helikopter milik jabatan itu sedang melakukan proses memindahkan seorang pesakit dari Pulau Perhentian ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

“Selepas itu helikopter itu akan terus ke kawasan Kampung Lubok Pait di Hulu Terengganu untuk melihat dahulu macam mana situasi di sana kerana buat masa ini hanya bot boleh akses ke sana.

“Anggota kita pun ada di sana dan ada yang terputus hubungan, tapi buat masa ini kami dah bawa lebih kurang 200 penduduk ke kawasan lebih tinggi dan selamat menggunakan bot,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kampung Lubok Pait antara kawasan yang terjejas teruk apabila air naik mendadak sejak awal pagi tadi dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kampung di Hulu Terengganu turut dinaiki air sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

Beberapa video dan gambar tular dalam media sosial menunjukkan ramai penduduk terperangkap di bumbung rumah dan tempat tinggi apabila kawasan mereka terputus hubungan dan hanya boleh dilalui dengan bot.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 10 laluan di lima daerah di Terengganu ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan banjir yang melanda sejak tiga hari lepas.

Menurut kenyataan itu, laluan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan di Kemaman ialah Jalan Pelantoh yang dinaiki air hingga 0.6 meter (m), Jalan Air Putih (Seberang Tayor – 0.3 m dan Loji Air Sungai Pinang – 0.76 m) manakala di Besut, Jalan Jertih-Keruak ditutup kerana ditenggelami air sedalam satu meter.

“Di Setiu pula melibatkan laluan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan) yang dinaiki air setinggi 1.5 m, Jalan Kampung Bukit-Alur Lik (2 m) dan Jalan Permaisuri-Kampung Hulu Seladang (0.75 m).

“Di Dungun, Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang) pula ditenggelami air sedalam 0.8 m manakala di Hulu Terengganu, laluan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Simpang Gaung ke Sungai Tong (1.2 m) dan Jalan Bukit Diman-Tersat berhampiran Kampung Pengkalan Ajal (2 m),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, beberapa laluan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan dan pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh JKR.

Pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar tidak mengambil risiko melalui jalan yang ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :