Pegawai khas Dr Siti Mariah Mahmud, Mashitah Ismail (dua, kanan) bersama Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu menyampaikan sumbangan mangsa tembakan rompakan bank, Mohd Zaidi Mohd Noor di Taman Kota Perdana, Seri Kembangan pada 13 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Alami igauan ngeri ditembak, pengawal keselamatan trauma kembali bertugas

SERI KEMBANGAN, 14 JUN: Insiden ditembak kira-kira tiga bulan lalu sehingga mencederakan bahagian dada bagaikan igauan ngeri buat seorang pengawal keselamatan sehingga trauma untuk kembali bertugas.

Mangsa, Mohd Zaidi Mohd Noor, 44, mengakui sukar melupakan detik cemas dialami akibat perbuatan penjenayah ketika bertugas mengambil wang dari sebuah bank di Puchong untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan.

Beliau juga belum memutuskan mahu meneruskan kerja itu atau sebaliknya meskipun majikan masih memerlukan khidmatnya sebaik tamat tempoh cuti sakit berikutan dalam proses pemulihan selain pergerakan terbatas.

“Buat masa ini syarikat tetap bayar gaji saya seperti biasa tetapi tidak tahu sampai bila, malah mereka janji boleh tunggu sehingga saya sembuh sepenuhnya dan kembali bekerja.

“Doktor ada maklumkan saya tidak mampu buat kerja berat jika pulih, jadi saya tak boleh fikir lagi. Melupakan insiden itu sangat sukar, pasti ambil masa agak lama kerana ia bukan kes kemalangan jalan raya tetapi kes jarang berlaku,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima bayaran faedah hilang upaya sementara daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor Zainol Abu di kediaman keluarganya di Bandar Putra Permai dekat sini semalam.

Mohd Zaidi Mohd Noor bercakap kepada Media Selangor ketika sesi ziarah Perkeso di kediaman keluarganya di Taman Kota Perdana, Seri Kembangan pada 13 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Zaidi yang berkhidmat dengan sebuah syarikat keselamatan hampir 10 tahun berkata tragedi itu mengakibatkan beliau sukar untuk berdiri selain seluruh anggota badan kebas dan penglihatan kabur.

Bapa empat anak itu juga perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya dan janji temu dengan doktor pakar di Hospital Serdang bagi menilai perkembangan terkini kesihatan terutama di bahagian ditembak bagi mengelak jangkitan kuman.

“Memang saya tak boleh buat kerja berat, kalau tidak kesan luka akan terbuka. Jadi, mahu atau tidak saya kena ‘manjakan’ diri di rumah. Rutin harian saya ketika ini hanya makan ubat cair darah dan disaran mengambilnya dua kali sehari untuk seumur hidup,” katanya.

Mengimbau kembali insiden 11 Mac lalu, beliau mengakui tidak sempat bertindak kerana berlaku sangat pantas sehingga terkena dua das tembakan di bahagian dada, manakala seorang lagi rakan sekerja meninggal di lokasi kejadian selepas bergelut dengan suspek.

“Ketika itu saya masih sedar dan cuba gagahkan diri untuk bangun tetapi gagal. Seorang pegawai bank datang selamatkan saya dan beri bantuan kecemasan sementara menunggu ambulans sampai.

“Saya hanya fikir keluarga, kalau saya tiada siapa yang akan tanggung mereka apatah lagi anak-anak masih kecil. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur saya,” katanya sebak.


Pengarang :