Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Pelancaran Jersi Bintang Gombak FC Sempena Liga International Garuda Cup 2 Indonesia di Hotel RHR, Gombak pada 26 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

MB: Industri bola sepak perlukan sistem kejurulatihan, lahir lebih ramai pemain berdaya saing

SELAYANG, 27 JUN: Industri bola sepak negara memerlukan sistem kejurulatihan yang teratur bagi melahirkan lebih ramai pemain berdaya saing di peringkat global.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata senario bola sepak dalam negara ketika ini menyaksikan jurulatih kerap bertukar, namun sebaliknya berlaku terhadap sistem kejurulatihan.

“Kita mungkin seronok pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2023, isunya bukan layak (tetapi) bagaimana kita (pasukan kebangsaan) berterusan layak ke kejohanan berprestij benua Asia itu.

“Kita perlu mengambil contoh kekalahan Jerman pada Euro 2001, apa yang dilakukan negara tersebut ialah memperbanyakkan jurulatih dan mengatur sistem (kejurulatihan). Ini bermakna pemain di peringkat bawah dilatih dengan bijak,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) melancarkan Jersi Bintang Gombak FC Sempena Liga International Garuda Cup 2 Indonesia di Hotel RHR, Gombak pada 26 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berucap pada majlis pelancaran jersi Bintang Gombak FC sempena Liga Antarabangsa Garuda 2 di  Hotel RHR di sini semalam.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga penaung Bintang Gombak FC memuji usaha kelab pengurusan bola sepak negeri ini yang berusaha menggilap bakat baharu di peringkat akar umbi.

“Ini membuktikan perkembangan sihat apabila kita melihat adanya keinginan dan kesungguhan untuk memberi peluang kepada anak muda terlibat dalam sukan ini.

“Saya faham ia bukan satu kerja mudah dan perlu bermula dengan satu impian,” katanya yang turut mendoakan kejayaan skuad Bintang Gombak FC dalam saingan bermula 30 Jun hingga 3 Julai.

Terdahulu, tiga jersi baharu dikeluarkan pasukan berkenaan untuk disarung 18 pemain yang bakal membawa cabaran pada kejohanan berlangsung di Bogor, Indonesia.

Jersi tertera logo Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selaku penaja utama berwarna hitam, merah dan kuning serta merah dan biru.


Pengarang :