Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura sumbangan bernilai RM10,000 kepada Pengetua SMK Kampung Jawa Datin Aisah Jaman pada 23 Jun 2022. Foto Facebook Zawawi Mughni
BERITA UTAMASELANGOR

MB ucap tahniah SMK Kampung Jawa tercalon peringkat dunia, serah sumbangan RM10,000

SHAH ALAM, 24 JUN: Dato’ Menteri Besar menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi penyelenggaraan aset Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa, Klang yang tercalon sebagai 10 sekolah terbaik dunia.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian sekolah tersebut dan memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus menyokong pencalonan tersebut.

“Bertemu pengetua SMK Kampong Jawa, Klang yang telah tersenarai sebagai 10 sekolah terbaik dunia bagi kategori ‘Menangani Cabaran’.

“Semoga mencapai kejayaan lebih gemilang,” katanya menerusi Facebook.

Semalam wakil rakyat Sungai Kandis berkata Kerajaan Negeri akan menyelaras gerak kerja penambahbaikan sekolah itu salah satu penyumbang markah untuk meraih tempat pertama.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni gerak kerja bagi sekolah di bawah pentadbirannya melibatkan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Pada 9 Jun lalu, T4 Education dalam kenyataan memaklumkan anugerah yang dilancarkan pada tahun ini dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai AS$250,000.

Menurut kenyataan itu tiga finalis terbaik akan dipilih untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat.

Pemenang bagi setiap kategori yang akan diumum pada Minggu Pendidikan Dunia pada 16 hingga 21 Oktober depan yang akan menerima AS$50,000.

Selain SMK Kampung Jawa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang tercalon bagi kategori ‘Inovasi’.


Pengarang :