ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bercakap kepada media mengenai kerja menaik taraf longkang bagi mengatasi banjir di Jalan SS19/7 Subang Jaya pada 4 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Atasi isu banjir kilat di jalan SS19/7, MBSJ peruntuk RM360,000 naik taraf parit

SHAH ALAM, 5 OGOS: Sejumlah RM360,000 diperuntuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk menaik taraf longkang di sepanjang jalan SS19/7 bagi mengatasi isu banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng berkata projek menaik taraf itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan bermula 12 Ogos hingga 13 Oktober.

“Projek ini sangat diperlukan kerana terdapat dua sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lick Hung dan Sekolah Kebangsaan SS19 sering terjejas apabila berlaku banjir kilat kerana air naik sehingga satu kaki.

“Kami memohon maaf jika ada kesulitan kepada ibu bapa dan orang ramai sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini,” katanya pada SelangorKini.

Michelle Ng berkata dalam tempoh berkenaan jalan SS19/7 ditutup sementara waktu bagi memastikan kerja menaik taraf berjalan lancar.

“Bagi SJKC kami minta ibu bapa menggunakan pintu D manakala SK SS19 menggunakan pintu alternatif di bahagian belakang sekolah.

“MBSJ juga akan meminta pihak kontraktor menyediakan petugas di lokasi untuk menunjukkan arah keluar masuk bagi memudahkan aliran trafik,” katanya.


Pengarang :