Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

RS-1 pelan pengurusan beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat

SHAH ALAM, 19 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan pelan pengurusan negeri ke arah memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata rancangan bagi tempoh lima tahun itu akan menguruskan segala aspek terutama berkaitan kehidupan rakyat.

“Kepimpinan di Selangor kini melihat lima ke 10 tahun akan datang apa yang perlu dihasilkan di negeri ini dengan pengurusan secara keseluruhan yang terbaik.

“Selangor sebagai cerminan Malaysia perlu memikirkan segala aspek dari segi sumber makanan, kesihatan, pendidikan, agama, alam sekitar dan pekerjaan. Ini semua antara perkara yang kita perlu uruskan dalam kehidupan manusia,” katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV pada 16 Ogos lalu.

Jelas Mohd Sany, kelulusan RS-1 dalam Sidang Dewan Negeri pada 2 Ogos lalu bukti kejayaan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

“Keunikan rancangan ialah apabila ia diterima oleh semua wakil rakyat termasuk parti pembangkang. Kebiasaannya pembangkang kerjanya membangkang sahaja, tetapi peliknya RS-1 semua wakil rakyat bersetuju dan mengangkat tangan apabila kelulusannya.

“Ini kejayaan pada pimpinan kerajaan Harapan Selangor bagaimana pembangkang juga sama-sama setuju menterjemahkan dalam melaksana RS-1,” katanya.

Terdahulu, usul RS-1 yang dibentang Dato’ Menteri Besar diluluskan pada 2 Ogos apabila mendapat persetujuan ADN setelah dibahas selama tiga hari.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Seri Amirudin Shari pada 27 Julai itu mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Menurutnya, usaha negeri itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Menerusi pembangunan RS-1, empat teras strategik iaitu pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus.


Pengarang :