Penyanyi asal Sarawak Alena Murang percaya genre etnik masih relevan dalam industri muzik arus perdana dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Damai sape Alena Murang ulung di persada dunia

Oleh Intan Syuhada Akhir

SHAH ALAM, 26 SEPT: Ketika lambakan lagu pop tular di aplikasi TikTok, penyanyi asal Sarawak Alena Murang percaya genre etnik masih relevan dalam industri muzik arus perdana dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Buktinya, lagu Warrior Spirit yang dihasilkan beliau tahun lalu kini dianggap karya ulung apabila menggondol trofi Anugerah Muzik Video Dunia Terbaik di Festival Muzik Video Buenos Aires 2021.

Sebelum itu, gadis berusia 33 tahun itu pernah membawa pulang 14 anugerah peringkat antarabangsa seperti Anugerah Filem Antarabangsa New York dan Anugerah Khas Juri di Anugerah Filem Los Angeles.

“Sebagai seorang yang berdarah kacukan di mana ibu saya berasal dari Eropah manakala bapa saya daripada suku Kelabit. Saya selalu bergelut dengan pencarian identiti. Sebagai etnik suku Sarawak, saya merasakan ia adalah tanggungjawab untuk memastikan bahasa dan budaya etnik Kelabit tidak hilang.

“Muzik dan lagu adalah cara paling mudah untuk memperkenalkan etnik saya. Kita boleh saling mengenali pelbagai tradisi dan budaya melalui muzik,” katanya ketika ditemu bual Selangorkini baru-baru ini.

Tidak nyanyi lagu cinta

Alena terkenal dengan lagu dalam bahasa Kelabit dan Kenyah muncul kali pertama dengan album Flight pada 2016. Sejak berumur 10 tahun, beliau belajar bermain alat muzik seperti gitar dan saksofon.

Bagaimanapun, bekas penuntut Universiti Manchester, England merasakan ada sesuatu yang istimewa tentang alat muzik tradisional Sarawak, sape yang tidak dimiliki alat muzik moden lain.

Gadis kacukan Eropah-Kelabit Sarawak itu mahir bermain sape yang lazim dimainkan kaum lelaki. Baginya ia tidak hanya alat muzik, tetapi identiti Orang Ulu Sarawak yang perlu diketengahkan di pentas arus perdana.

“Jika anda mendengar muzik dimainkan sape, memang anda akan rasa tenang. Sebagai pemain sape, saya akui ia memberikan sebuah perasaan damai yang tidak saya peroleh ketika memainkan alat muzik yang lain.

“Sape sendiri pun dibuat dari bambu yang diambil di hutan. Lagu-lagu yang dihasilkan juga banyak terpengaruh dengan alam sekitar. Saya tidak menyanyikan lagu-lagu cinta sebaliknya mengambil inspirasi daripada lagu-lagu tradisional Kelabit dan Kenyah yang kebanyakannya bercakap mengenai alam semulajadi seperti sungai, bulan, sinaran matahari dan jenis petir,” katanya.

Lagu etnik semakin diterima

Alena berpendapat masyarakat hari ini sudah semakin terbuka untuk mendengar dan menerima kehadiran instrumen tradisional dalam lagu-lagu arus perdana.

“Selalunya instrumen tradisional kita hanya dapat saksikan di majlis-majlis kebudayaan. Namun sekarang kita dapat lihat ada usaha yang dilakukan oleh pengkarya tempatan untuk memasukkan bunyi-bunyi daripada instrumen tradisional ke dalam karya mereka.

“Jika pendengar diberi lebih banyak pendedahan, saya yakin mereka akan menyukainya. Sejujurnya sebagai masyarakat Ulu Sarawak, saya susah membayangkan muzik dan cerita kami akan didengari oleh orang lain.

“Namun melihat penerimaan yang sangat baik tidak hanya di Malaysia, malah orang luar negara yang turut menyukai muzik tadisi kami, saya akui sedikit terkejut pada awalnya.

“Kalau di TikTok sekalipun, muzik etnik dari negara lain sudah terkenal. Muzik etnik kita juga ada potensi menjadi tular melihat kepada usaha generasi muda masyarakat Sarawak khususnya di Kalimantan yang rajin buat video saduran di TikTok,” katanya.

Tidak hanya sape, Alena turut berharap lebih banyak alat muzik tradisional pelbagai etnik dapat diketengahkan seperti tongkungon, turali, sompoton dan gitar bambu yang dimainkan etnik Semai.

“Malaysia sangat unik kerana kita mempunyai pelbagai bangsa dan etnik. Jika kita semua lebih terbuka untuk berkongsi dan memahami kepelbagaian budaya ini, sudah semestinya kita akan hidup damai dan saling menghormati.

“Semoga lebih ramai warganegara khususnya di semenanjung akan lebih mengenali muzik tradisi dan budaya masyarakat negara kita.”


Pengarang :