AGENDANASIONAL

Palsu logo halal daging sejuk beku import, lelaki didenda RM43,000

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seorang lelaki didenda RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah mengguna logo halal palsu pada daging sejuk beku yang diimport.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata hukuman itu dijatuhkan Hakim Rasyihah Ghazali, lapor portal Berita Harin.

Beliau berkata, pendakwaan hasil operasi bersepadu KPDNHEP Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) terhadap sebuah premis di Pulau Indah, awal tahun lalu.

“Susulan operasi bersepadu itu, siasatan disempurnakan sehingga membawa kepada pengesyoran orang yang disiasat (OYDS) untuk dipertuduhkan di mahkamah mengikut Akta Perihal Dagangan 2019.

“Orang kena saman (OKS) mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan. Mahkamah mengenakan denda RM43,000 atau 15 bulan penjara mengikut Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya hari ini.

Beliau berkata sejumlah 1,672 barang kes bernilai lebih RM500,000 yang dirampas dalam kes itu dilupuskan.

Dalam serbuan pada 25 Januari tahun lalu, KPDNHEP mendapati pengimport daging sejuk beku (daging lembu) menggunakan penandaan logo halal dari luar negara dengan bahasa dan tulisan halal yang diragui.

“Siasatan mendapati, daging sejuk beku yang ditemui dalam serbuan itu diimport dari luar negara. Semakan dengan JAIS mendapati, logo halal digunakan tidak diiktiraf dan penandaan halal yang digunakan pada kotak pembungkusan diragui,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNHEP Selangor tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya membabitkan Perakuan dan Penandaan Halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.


Pengarang :