Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian sistem smart box peluasan ke seluruh Pejabat Daerah dan Tanah Negeri di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lindungi kawasan penduduk, Batu 16 dicadang stesen terakhir ECRL di Gombak

GOMBAK, 28 OKT: Kerajaan Selangor mencadangkan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Batu 16 ke terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak dibatalkan bagi mengelak penempatan penduduk sekitar daerah ini terjejas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kertas cadangan supaya stesen terakhir Gombak dibina di Batu 16 sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan baru-baru ini dan menunggu maklum balas.

“Kita melalui perbincangan panjang antaranya mahu elakkan (ECRL) daripada melalui kawasan Hulu Langat-Gombak Geopark memandangkan kawasan itu ada nilai sangat berharga. Alhamdulillah mereka keluarkan daripada jajaran ECRL.

“Mereka keluarkan cadangan pembinaan dari kawasan Batu 16 akan menyimpang ke Serendah, maknanya akan ada dua lorong dengan jarak antara 15 hingga 20 kilometer (km) ke sana.

“Jadi baru-baru ini pihak ECRL bentangkan kepada Kerajaan Negeri dan kita sudah hantar kertas cadangan lain supaya dari stesen Batu 16 ke ITT Gombak dibatalkan. Seluruh kawasan ini (Gombak) tidak dikacau dalam pembangunan itu,” katanya.

Beliau berucap sempena majlis ziarah muhibbah dan makan tengah hari bersama penduduk Kampung Sungai Chinchin di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin menyertai kira-kira 400 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Chinchin Ahmad Sofian Abd Rani berharap komitmen Kerajaan Negeri untuk memperjuangkan perkara itu mencapai keputusan menang-menang.

“Itu cadangan (stesen Batu 16 ke ITT Gombak dibatalkan). Bagaimanapun, projek ECRL akan diteruskan juga dan melalui kawasan kampung. Kemungkinan hanya sebilangan kecil rumah penduduk terkesan, namun bukan dalam masa terdekat.

“Beliau (Amirudin) akan memaklumkan perkembangan berhubung cadangan ini setiap dua bulan sekali, jadi penduduk tidak perlu risau,” katanya.

Bakal beroperasi pada Januari 2027, projek mega itu melibatkan jarak jajaran 665km merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.


Pengarang :