Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba nafi benarkan sukarelawan bantu operasi cari mangsa tanah runtuh

SHAH ALAM, 19 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menafikan memberi kebenaran kepada sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) atau individu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), hanya anggota dan agensi terlatih dibenarkan berada di kawasan zon merah itu seperti JBPM, polis, tentera, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

PGO menjelaskan tiga aspek utama diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan berikutan struktur tanah di kawasan terbabit dalam keadaan lembut.

“Jika hujan berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran di kawasan runtuhan. Keadaan ini memerlukan kepekaan, latihan khusus dan kesediaan menghadapi situasi sukar serta tidak dijangka.

“Oleh sebab itu, kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat gerakan itu menambah operasi SAR diteruskan hari ini untuk mencari mangsa yang masih hilang.

“Bersama kita doakan anggota pasukan SAR diberi kekuatan dan kemudahan mengeluarkan mangsa,” katanya.

Jumaat lalu, tular gambar sekumpulan sukarelawan NGO memasuki lokasi bencana di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali, Gohtong Jaya, Hulu Selangor.

Pihak terbabit mendakwa diberi kebenaran membantu operasi SAR mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan itu.

Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam insiden tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya itu.


Pengarang :