Gambar hiasan bayi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bayi lelaki bertali pusat ditemukan di bawah kerusi kayu belakang dapur rumah

KUALA TERENGGANU, 6 FEB: Bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat sini semalam.

Bayi dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

Menurutnya dia terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.

“Selepas mengamati lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” katanya ketika ditemui di Kondo Rakyat Kuala Ibai.

Ahmad Fauzi berkata ketika ditemukan bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

“Alhamdulilah bayi tersebut nampak sihat dan tiada kecederaan ketara,” katanya menambah bapa mertuanya bertindak menghubungi polis yang kemudian tiba jam 7.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :