Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau beramah mesra dengan warga media pada Majlis berbuka di Klang pada 30 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah kerjaya Selangor diterus mulai Jun, buka tirai di Klang

KLANG, 31 MAC: Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) bagi tahun ini bakal diadakan pada Jun sehingga Oktober depan, maklum EXCO pemberdayaan pekerja.

V Ganabatirau berkata program tahunan itu diteruskan berikutan penerimaan positif masyarakat khususnya mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

“Jelajah akan diadakan pada pada Jun hingga Oktober depan di sembilan daerah bermula dari Klang dan berakhir di Sabak Bernam. Tarikh dan tempat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan data yang diterima melalui program pada tahun lepas, seramai 253 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor yang ditawarkan oleh majikan manakala secara hibrid pula sebanyak 638 pencari kerja,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Hotel Wyndham Acmar di sini semalam.

Ganabatirau menambah sektor perkilangan paling tinggi menyediakan peluang pekerjaan.

“Selain itu, sektor gig ekonomi yang menjadi penyumbang utama juga kepada kadar pengurangan pengangguran di Selangor,” katanya.

Jelajah JobCare adalah inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 memperoleh pekerjaan.

Tahun lalu, inisiatif yang dijayakan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) diadakan di sembilan daerah bermula 26 Februari dimulakan di daerah Klang.


Pengarang :