Ketua Kumpulan Kamikaze Adventure Team Azam Mohd Shidid (dua, kanan) ketika sidang media di pejabat Selangor Youth Community, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berhujan panjat bukit 4 pagi antara cabaran diharungi atlet tajaan SAY

SHAH ALAM, 17 JAN: Kejayaan pasukan Kamikaze Adventure Racing Team menduduki tempat ketiga kejohanan sukan lasak bertaraf antarabangsa dianggap pencapaian membanggakan.

Ketua pasukannya Azam Mohd Shidid berkata kejohanan La Routa Adventure Race di Pulau Biliran, Filipina yang berlangsung pada 20 hingga 24 November lalu disertai 16 pasukan gergasi dari benua Eropah dan Asia.

“Setiap pasukan diberi tugasan untuk menghadapi tujuh disiplin cabaran sejauh 350km antaranya berbasikal gunung, larian, mendaki gunung, sukan rekreasi guna kompas dan peta, berenang, berkayak dan panjat bukit bertali.

“Cabaran paling besar apabila kita panjat bukit dalam cuaca hujan lebat pada jam 4 pagi yang turut ditempuhi atlet wanita kami.

“Kami hanya sasar kedudukan kelima terbaik tetapi dengan semangat berpasukan, kami tidak putus asa hingga raih tempat ketiga. Pengalaman ini sangat berharga kerana kami bersaing dengan pasukan terkuat dunia,” katanya kepada Selangorkini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community Aiman Syfiq Nazri (tiga, kanan) menyampaikan cek cura kepada Kumpulan Kamikaze Adventure Team di pejabat Selangor Youth Community, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Seorang lagi peserta Mustika Ayuni Mustofa, 26, menyifatkan kejayaannya membuktikan golongan wanita juga mampu untuk beraksi dalam sukan lasak dan mencabar.

“Format kejohanan ini setiap pasukan perlu diwakili sekurangnya seorang wanita, ia satu pengalaman baharu buat saya selaku atlet tunggal wanita dalam pasukan.

“Bagi saya kekuatan wanita dan lelaki dalam kejohanan adalah sama, masing-masing mempunyai bakat tersendiri.

“Rasa puas dapat menyumbang kemenangan kepada negara terutama ketika melakukan cabaran berbasikal gunung,” katanya.

Ditubuhkan pada 2014, Kamikaze Adventure Racing Team yang turut diwakili Muhammad Mussadiq Samsudin dan Muhammad Irwan Yusof Abdullah meraih tempat ketiga pada kejohanan sukan lasak La Routa Adventure Race Asia Championship 2023 di Pulau Biliran, Filipina.

Kejohanan itu disertai 16 pasukan luar negara seperti New Zealand (juara), Poland (naib juara), Jepun, India, Filipina dan Indonesia.

Ketua Kumpulan Kamikaze Adventure Team Azam Mohd Shidid (dua, kanan) ketika sidang media di pejabat Selangor Youth Community, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :