Penerima manfaat Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam Program Usahawan Tani (INTAN) membersihkan tanaman cili mereka ketika tinjauan Media Selangor di Kobuniti Agro Park, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Kebun koperasi atasi miskin bandar, hasilkan cili tiga tan

Bermula hobi menanam sayuran pada 2019, Tan Sri Abu Kassim Mohamed mempengerusikan Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (Kobuniti) secara rasmi pada 7 Februari 2020.

Sebulan kemudian, badan diketuainya berdepan kesukaran beroperasi dek pandemik Covid-19. Namun selepas tiga tahun, Kobuniti bangkit tersenarai antara 30 koperasi baharu terbaik negara.

Menjadi rujukan banyak pihak, koperasi pimpinan mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bawah Inisiatif Usahawan Tani (Intan).

Jalinan itu membolehkan Kobuniti menerima dana kerajaan pada Jun 2023, bertujuan membantu menambah pendapatan kumpulan masyarakat miskin bandar di Selangor.

Pada masa sama, kelompok berkenaan dapat mempelajari kemahiran bertani melalui projek penanaman cili – tanaman tumpuan utama inisiatif.

Suasana di Kobuniti Agro Park, Shah Alam ketika tinjauan Media Selangor pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Anggota Lembaga Kobuniti Mohamad Nizar Omar berkata 16 peserta daripada kumpulan masyarakat itu terlibat proses penanaman sejak Julai tahun lalu selepas temu duga pada Jun.

Berkat berbudi pada tanah dan kerja keras, peserta yang menanam 16,000 pokok cili sejak bulan itu, menuai hasil mencecah tiga tan setakat Oktober.

Pokok itu ditanam dalam polibeg, ditempatkan bawah khemah pelindung hujan. Ada juga pokok cili ditanam atas batas tanah.

Selain cili, terdapat sayuran lain pada tanah seluas 15 ekar di Desa Alam, Shah Alam antaranya jagung, sawi, timun dan bendi.

Jaminan bekalan

Kobuniti juga menyediakan dua kolam memancing ikan keli dan puyu kepada pemancing dengan caj RM11 bagi satu kilogram ikan puyu dan keli RM10.

“Kita jual di pelbagai tempat, di pasar borong, kepada pengusaha nasi kandar, PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) Kuala Langat, orang awam. Mereka terus datang sini sebab kita jual harga ladang RM10 sekilogram,” katanya baru-baru ini.

Projek Kobuniti didukung Jabatan Pertanian Selangor yang memberi khidmat nasihat kepada peserta setiap Sabtu, sejak projek itu bermula.

“Kita ada tanah di bandar untuk diusahakan. Salah satu caranya untuk jaminan makanan. Mahu tengok konsep, tengok dekat sini (Kobuniti). Konsep tanaman ada, ternakan ada.

“Pada masa sama, dia bantu komuniti. Bagusnya dia datang dengan ilmu dan latihan dahulu. Jadi kejayaan akan lebih tinggi,” kata Pegawai Jabatan Pertanian Selangor Anwar Tawe.

Penerima manfaat Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam Program Usahawan Tani (INTAN) Mohd Nordin Ab Rahim, 55, menunjukkan hasil tanamannya ketika tinjauan Media Selangor di Kobuniti Agro Park, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Koperasi berkenaan menghasilkan racun organik sendiri untuk tanaman iaitu campuran pati daun mambu, paku pakis direbus dan sulfur dengan kos hanya RM10.

Kobuniti juga menubuhkan tiga anak syarikat berkaitan nurseri dan landskap, latihan pertanian dan pemasaran bertujuan menyokong usaha tani mereka.

Koperasi ini berminat membantu membekal hasil tani, mendorong projek itu diperkenal.

“Sebab kita tumpu jaminan makanan. Bukan isu cukup makan atau tidak. Tapi makanan itu mampu dibeli atau pun tidak. Itu tumpuan kita.

“Kalau mampu dibeli, apa langkah seterusnya bantu orang miskin bandar ni. Mereka ada kerja, tapi tidak cukup duit. Adakah dia buat kerja, dia mempunyai ilmu dan kemahiran? Jadi (usaha kita) serampang banyak mata. Kita beri tempat, latihan dan kemahiran,” katanya.

 


Pengarang :