Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya’ Ramadan) bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan seru rakyat jauhi prasangka buruk, perkukuh toleransi demi keharmonian

PETALING JAYA, 5 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan semua rakyat agar tidak berprasangka buruk sebaliknya menyuburkan toleransi demi keharmonian masyarakat di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kemajuan negeri yang diharapkan tidak dapat dicapai sekiranya rakyat tidak bersatu dan berpecah belah.

“Sekiranya negeri Selangor yang terdiri daripada rakyat berbilang bangsa dan agama ini ingin lebih maju dan progresif, perpaduan dan kerjasama yang terjalin dalam kalangan rakyat hendaklah dipertahankan dan perlu terus ditingkatkan,” titah Baginda.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) bersalaman bersama orang ramai pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Bertitah pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Damansara Perdana di sini, Sultan Sharafuddin turut menyeru pemimpin politik memainkan peranan menyatu padukan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

“Pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti mengambil pendekatan menggunakan platform media sosial.

“Ia membentuk rasa hormat- menghormati dan persefahaman antara satu sama lain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita,” titah baginda.

Pada majlis sama, Baginda turut mendoakan umat Islam di negeri ini dijauhi daripada perbuatan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan mencaci.


Pengarang :