PENDIDIKANSELANGOR

Kapten Selangor FA pilih UNISEL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) menjadi pilihan utama kapten pasukan Selangor FA, Razman Roslan, melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi, dalam jurusan Pengurusan Industri Sukan.

Beliau yang mula menyertai pasukan bola sepak kebangsaan pada 2010 berkata, program ‘UNISEL Athlete Academic’ yang ditawarkan mendorongnya untuk memilih bidang pengajian itu.

Katanya, program berkenaan turut memberi peluang kepada atlet profesional sepertinya fokus kepada pelajaran, sekali gus tidak menjejaskan latihan di padang.

“Hasrat menyambung pengajian ini kerana mahu mengubah mentaliti masyarakat terhadap pemain bola bahawa kami bukan sahaja jaguh, di padang sahaja.

“Saya mahu orang luar bukan sahaja menilai kami pada bakat di padang, malahan menjadi contoh dari aspek akademik,” katanya ketika mendaftar di UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rudie Ramli, yang turut serta mendaftar sebagai pelajar baharu UNISEL bagi kursus sama.

Beliau yang juga Bendahari Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata, semua pemain bola profesional amat digalakkan menyambung pengajian di peringkat tertinggi bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka secara keseluruhan.

“Program ‘UNISEL Athlete Academic Track’ ini dapat membantu bukan sahaja pemain bola sepak, bahkan atlet dari bidang sukan yang lain untuk melanjutkan pengajian.

“Selain itu, ia memberi fleksibiliti kepada atlet daripada segi tempoh pengajian, kaedah pembelajaran dan penilaian kursus,” katanya.

Terdahulu, Presiden PFAM merangkap bekas pemain pasukan kebangsaan, Rezal Zambery Yahya, berjaya mengikuti pengajian bagi program sama, pada sesi kemasukan Jun 2018.

Turut sama bergelar pelajar UNISEL adalah EXCO PFAM yang lain termasuk Mohd Fairuz Abdul Aziz, Mohd Shahrom Abdul Kalam dan Mohd Fauzi Saari.


Pengarang :