SELANGOR

KPDNHEP beri amaran pengusaha restoran tidak perdaya umat Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 10 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada pengusaha premis makanan di negeri itu supaya tidak memperdaya atau mengelirukan pengguna terutama umat Islam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, pemilik restoran juga diingat supaya tidak menggantung ayat atau bacaan ayat suci Al-Quran sekiranya tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Katanya, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memandang serius perkara itu dan sekali gus menjalankan pemantauan menyeluruh secara berperingkat.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia menggelirukan pelanggan khususnya umat Islam.

“Sepanjang tahun lalu, kita menerima 22 aduan mengenai perkara itu membabitkan status halal yang merangkumi bukan saja tiada SPHM, malah penggunaan bahan makanan di premis makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi penguatkuasaan di premis restoran sekitar Bandar Bukit Tinggi di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Abdul Haziq Izzat Abdul Wahid.

Justeru, Azman turut meminta pemilik restoran mengelak daripada membuat representasi yang boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna seolah-olah premis itu menjual makanan halal.

Dalam operasi itu, sebanyak tiga restoran dikenakan tindakan atas kesalahan berkaitan tahap kebersihan, halangan dan tidak mematuhi syarat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada masa sama, Azman turut menasihatkan pengguna supaya membuat rujukan sekiranya mahu maklumat tepat mengenai status premis makanan halal.

“Pada Selasa, sebanyak tiga premis di Banting diarah tutup serta merta kerana melakukan kesalahan berkaitan tahap kebersihan.

“Dalam operasi bersepadu ini, kita turut mengesan kesalahan penandaan harga di premis yang diperiksa bersama agensi berkaitan termasuk Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL),” katanya.

Terdahulu, isu penggantungan ayat Al-Quran di restoran yang tidak mempunyai sijil halal tular di laman media sosial setelah sebuah restoran di Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam diarah menurunkan ayat Al-Quran digantung atas alasan tidak mempunyai sijil halal.

Azman berkata, premis restoran tidak memerlukan sijil halal untuk beroperasi namun sekiranya mahu menggunakan sesuatu bahan berkaitan dengan halal mereka perlukan sijil tersebut.

 


Pengarang :