BERITA UTAMASELANGOR

Selangor pastikan tiada lagi tanah kerajaan diceroboh

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan Negeri akan bertindak tegas kepada mana-mana warga asing yang menceroboh tanah milik kerajaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu turut membabitkan tanah Pusat Kusta Negara di Sungai Buloh.

“Pejabat Tanah sedang uruskan kes terbabit, kita semakin peka dengan perkara ini.

“Pihak berkuasa sedang ambil tindakan segera sebab kita perlu dapatkan butiran dan maklumat untuk ambil tindakan kerana kita memang tegas, kalau duduk tanah kerajaan oleh warga asing kita akan ambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Akademi Kepimpinan Wanita di Shah Alam Convention Centre di sini.

Amirudin berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri sedang dalam proses mengeluarkan warga asing yang mendiami tapak Pusat Kusta Negara.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi berkata, tapak terbabit dalam proses untuk diisytihar sebagai Warisan Dunia Unesco.

“Saya menyokong dan sedia berkerjasama dengan pihak penguatkuasa untuk memastikan Pusat Kusta Negara bebas pendudukan haram.

“Kita pastikan pusat itu terjaga dan semua keluarkan semua struktur haram,” katanya.


Pengarang :