AGENSISELANGOR

Lima pam, satu kunci air untuk projek tebatan banjir Sungai Labu

SHAH ALAM, 24 JUN: Lima pam air akan dipasang di projek tebatan banjir Sungai Labu dalam usaha mengatasi masalah banjir, kata pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Selangor.

Datuk Gapar Asan berkata satu kunci air bersaiz besar juga didirikan dalam projek sepanjang 18 kilometer itu.

“Lokasi pemasangan lima pam berbeza dan air akan dipam ketika paras sungai tinggi dan berisiko melimpah. Projek tebatan sungai ini memperuntukkan kos RM17 juta termasuk tindakan segera menaikkan ban rosak,” katanya kepada Selangorkini.

Gapar berkata paras air sungai berkenaan akan naik dalam tempoh singkat sekiranya hujan melebihi 100 milimeter dalam tempoh tiga jam.

“Sebab itu projek tebatan ini perlu dibuat kerana ia berisiko menyebabkan rumah penduduk berhampiran sungai dinaiki air,” katanya.

Semalam, Gapar bersama EXCO Insfrastuktur, Izham Hashim meninjau kerja baik pulih ban pecah Sungai Labu di Kampung Giching, Sepang.


Pengarang :