Ketua Biro Kebajikan, Sosial dan Perayaan Datin Sharifah Mahiza (lima dari kanan) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rumah Puteri Arafiah (RPA) pada 27 Mei 2022. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ziarah Medik masuki sesi kedua, Pekawanis belanja lebih RM100,000

SHAH ALAM, 27 MEI: Program Ziarah Medik anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) diteruskan mulai Ogos ini dengan peruntukan lebih RM100,000.

Ketua Biro Kebajikan, Sosial dan Perayaan Datin Sharifah Mahiza Syed Abd Kadir berkata menerusi sesi kedua itu dianggar lebih 400 pesakit kronik di 41 Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat dibantu.

“Setiap mereka diberikan RM2,500 bagi membantu 10 penerima di kawasan masing-masing. Setiap penerima akan disaring supaya sampai kepada golongan sasar.

“Inisiatif ini memberi manfaat besar kepada pesakit walaupun ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Lembaga Zakat Selangor memandangkan kos ubat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rumah Puteri Arafiah (RPA) hari ini. Turut hadir Penaung RPA Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Pada Mac lalu, Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhammad memaklumkan sebanyak RM95,000 dibelanjakan bagi menjayakan program Ziarah Medik di 38 DUN.

Program mengutamakan ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) dari keluarga kurang berkemampuan (B40).


Pengarang :