Kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer(KM)) 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite menyebabkan pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada 24 Disember 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

LRA Semenyih dan Bukit Tampoi beroperasi semula lepas rekod bacaan 0 ton

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 24 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan LRA Bukit Tampoi hanya boleh beroperasi semula setelah pencemaran bau merekodkan bacaan kosong TON di muka sauk.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata ketika ini bau masih dikesan di dalam aliran sungai dengan bacaan satu TON dan pemantau statik dilakukan di muka sauk Jenderam Hilir setiap 15 minit.

“Selain itu semakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati terdapat baki takungan cecair berkenaan di aliran longkang memasuki Sungai Limau Manis dan seterusnya ke Sungai Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loy Sian menjelaskan LUAS meletakkan tiga ‘oil boom’ dan satu kotak ‘oil pad’ di lokasi tersebut selain 12 beg karbon aktif di Sungai Limau sebagai langkah pencegahan dan mengurangkan kesan bau.

“Dalam pada itu, pelepasan air Empangan Semenyih sekitar 300 juta liter sehari sedang dilaksanakan bagi tujuan peningkatan kadar pencairan di Sungai Semenyih yang akan membantu mengurangkan kesan bau di dalam sungai,” katanya.

LUAS bersama semua pihak terlibat sedang berusaha melaksanakan tindakan mitigasi pencemaran dengan segera agar pencemaran dapat dipulihkan dan LRA beroperasi semula.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas sementara LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi pagi tadi.

Ia berikutan insiden pencemaran bau di stesen pam air Jenderam Hilir dan menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pemberhentian operasi LRA itu dikenal pasti berpunca tumpahan cecair daripada insiden kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite menyebabkan pencemaran bau di dalam aliran air Sungai Semenyih.


Pengarang :