Penerima bantuan peralatan perubatan dan mesin oksigen bersyukur dengan bantuan diterima daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 7 Disember 2022. Foto LZS
AGENSISELANGOR

Penerima zakat bagai bermimpi dapat mesin oksigen lebih RM20,000

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 7 DIS: Penghidap Sindrom Hipoventilasi Obesiti mengakui bagaikan ‘bermimpi’ apabila menerima bantuan peralatan perubatan dan mesin oksigen bernilai RM20,800 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu memaklumkan keadaan yang dialami wanita itu menyebabkannya mengalami kesukaran bernafas ketika berjaga dan tidur seterusnya memerlukan bantuan peralatan itu.

“Zakat Selangor meluluskan bantuan pembelian alatan perubatan diperlukan yang mencecah sehingga RM20,800.

“Penerima juga dibantu bantuan kewangan bulanan dan hari raya atas nama suaminya,” kata agensi itu di Facebook.

Mesin oksigen bernilai RM20,800 yang diberikan kepada Penghidap Sindrom Hipoventilasi Obesiti. Foto Facebook LZS

Agensi berkenaan turut berkongsi reaksi dan ucapan penerima ketika bantuan disampaikan baru-baru ini.

“Mak cik rasa macam mimpi dapat bantuan alatan dan mesin oksigen ni, harganya pun mahal, terima kasih lah zakat bantu saya.

“Makcik ni susah nak bernafas, bila dapat tahu doktor suruh beli alatan perubatan ni, makcik terkejut tengok harganya, manalah makcik mampu nak beli,” katanya seperti dilaporkan agensi itu.

Menurut makcik itu, dengan mesin oksigen terbabit dia boleh bernafas dengan baik seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat.

LZS turut berterima kasih kepada pengeluar zakat yang menjalankan tanggungjawab mereka.


Pengarang :