Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

300 kampit beras, telur habis dalam tempoh sejam di jualan murah DUN Paya Jaras

Oleh DIANA ABD WAHAB

SUNGAI BULOH, 9 FEB: Sebanyak 300 kampit beras dan 300 papan telur habis terjual dalam tempoh sejam di program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras hari ini.

Program jualan murah di Kampung Melayu Sungai Buloh itu dikunjungi lebih 400 penduduk yang mahu mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nor Azyyati Hassan berkata orang ramai datang seawal 7 pagi meskipun gerai jualan hanya dibuka 10 pagi.

Nor Azyyati Hassan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Mereka sanggup datang dua jam lebih awal kerana tidak mahu terlepas membeli barang pada harga murah.

“Bagi berlaku adil kita hadkan pembelian seekor ayam dan sepapan telur untuk setiap pembeli bagi memastikan semua dapat barangan keperluan dan inisiatif itu buka ruang kepada mereka yang datang lewat ke lokasi tak pulang dengan tangan kosong.

“Tak sangka di sini beras jadi barang terlaris selain ayam dan telur. Boleh dikatakan rata-rata pengunjung beli sekampit beras,” katanya.

Program jualan murah kendalian PKPS diteruskan bermula 16 Januari hingga Mac ini di sembilan lokasi setiap hari.


Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Program jualan murah itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :