AGENSISELANGOR

Usahawan Hijrah dipelawa sertai program bimbingan, teroka pasaran luar negara

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 9 JUN: Usahawan yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke luar negara dipelawa menyertai program bimbingan eksport ke Brunei anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) pada 21 dan 22 Jun ini.

Pengurus Pembangunan Usahawan Hijrah Elyani Iza Zuber berkata pihaknya menyasarkan 40 usahawan di bawah naungannya menyertai program secara percuma sekali gus melahirkan usahawan berdaya saing.

“Kita mengutamakan usahawan yang aktif dan masih mempunyai pinjaman. Menerusi program ini kita sediakan bimbingan intensif daripada jurulatih berpengalaman bagi bantu peserta buat persediaan rapi sebelum pasarkan produk mereka ke luar negara.

“Menerusi modul disediakan peserta diajar penilaian model perniagaan dan pelan pemasaran eksport ke Brunei, strategi penjenamaan, pengiklanan, jualan dan promosi, peraturan dan piawaian eksport ke Brunei selain pelan tindakan dan agihan mengeksport,” katanya kepada Selangorkini.

Elyani Iza berkata peserta boleh mendaftar menerusi pautan https://www.hijrahpro.my/…/4-programbimbinganeksportkeb….

Menurutnya Hijrah  turut menganjurkan program persediaan ke pasaran antarabangsa membabitkan negara Eropah daan Amerika untuk usahawan di bawah naungannya.

“Menerusi program percuma selama dua hari bermula Isnin depan (12 Jun) peserta akan diajar mengenai pemilihan produk, strategi harga,  pengiraan pembangunan produk, mengenal pasti pasaran dan sasaran pembeli,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Cik Nur Firdaus di talian 011-6509 2127 atau Cik Farhana di talian 016-336 3862.

Hijrah menyediakan dana untuk membangunkan usahawan menerusi pelbagai skim pembiayaan seperti Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes..


Pengarang :